Monday, September 15, 2008

Rezeki...

Rezeki kita 'Dia' yang tentukan

Ya Allah!
Bahawasanya waktu Dhuha itu adalah waktu Dhuha-Mu,
Keindahan itu adalah keindahan-Mu,
Kecantikan itu adalah kecantikan-Mu,
Kekuatan itu adalah kekuatan-Mu,
Kekuasaan itu adalah kekuasaan-Mu,
dan perlindungan itu adalah perlindungan-Mu.

Ya Allah ! Ya Tuhanku,
jika rezekiku berada di atas langit maka turunkanlah,
dan jika berada di dalam perut bumi maka keluarkanlah,
dan jika sukar maka permudahkanlah,
jika haram maka sucikanlah,
jika masih jauh maka dekatkanlah,

Berkat waktu Dhuha-Mu,
Keagungan-Mu, Keindahan-Mu,
Kekuatan dan kekuasaan-Mu,
Limpahkanlah kepada kami,
segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang salih.

Rezeki kita DIA yang tentukan! Hidup, mati, jodoh dan pertemuan, segalanya milik percaturan DIA. Tinggal "homework" yang perlu kia buat adalah berusaha sehabis daya, berikhtiar sehabis baik dan bertawakkallah dengan sebenar-benar tawakkal. Yakinlah dengan sepenuh hati akan kuasa dan ketentuan-NYA.

Kenapa nak mempersoalkan bilalah nak dapat kerja, bilalah nak dapat A, bilalah nak dapat Dean's List, bilalah nak jadi "best student" . Bila dan bila? Semua itu "kerja DIA". "Kerja" kita hanyalah usaha dan usaha. Ikhtiar, ikhtiar dan ikhtiar.

Yakin dan berdoa. Jangan patah semangat. Jangan putus asa. Jangan megaku kalah. Jangan menyalahkan takdir. Jangan membenci dan menyalahkan DIA. Rezeki kita, DIA yang tentukan!



"Pintalah pertolongan dengan jalan yang sabar.." satu lagi, jangan lupa bersyukurlah! Jadilah insan yang sentiasa rendah hati, rendah diri pada DIA dan sering kali bersyukur pada hikmah yang tak pernah kunjung padam."

Jujurnya, lagi lambat nikmat datang, lagi dekat kita pada DIA. Lagi kasih kita pada DIA. Andai kata senang-senang kita dapat A, senang-senang kita siapkan projek, senang-senang pergi satu temuduga terus dapat kerja..adakah hati kita reti untuk berterima kasih. Adakah hati kita pandai untuk mensyukuri. Adakah hati kita bebas dari riak dan takabbur?

Rezeki kita DIA yang tentukan! Biarlah lagi banyak diduga, lagi manis terasa. Biarlah terasa kerdilnya diri saat mengadu mengadap DIA. Biarlah basah lencun bermandi air mata saat sepertiga malam bangun bermunajjat merayu pada DIA.

Biarlah rasa malu dan sedih saat sujud mengadap DIA. Biarlah rasa hinanya kita berbanding insan lain. Biarlah DIA satu-satunya tempat kita mengadu dan meminta. Biarlah rasa kerdilnya diri saat ketika kita sedar, kita hanya manusia biasa tiada apa-apa. Rezeki kita DIA yang tentukan!

Bersyukurlah dengan nikmat, kecantikan, kelebihan, kebolehan, kepandaian yang ALLAH pinjamkan untuk kita. Kita hanya manusia biasa yang tiada apa-apa. Tak perlu iri dan cemburu pada yang lain, sebab mereka pun insan biasa.

Yang dipinjamkan ALLAH segala kelebihan sementara. Belajarlah untuk berkata "Alhamdulilah". Kerana tiap kerdipan mata, tiap helaan nafas kita, tiap suapan nasi kita, tiap tegukan air kita adalah milik DIA. Milik ALLAH. Rezeki kita Allah yang tentukan!


"Hanya Engkaulah yang kami sembah dan kepada Engkaulah kami mohon pertolongan...."
Surah Al-Fatihah: 5

Article from Harakah: Haslaily Mokhtar, Sept 2008

No comments: